Ahad, 22 Ogos 2010

CONTOH 32-KARANGAN PENDAPAT

Soalan Percubaan PMR Negeri Melaka 2010

Media massa sering memaparkan berita tentang kegiatan vandalisme yang berlaku di negara ini. Cadangkan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini.

Dewasa ini masalah kegiatan vandalisme semakin berleluasa di negara. Negara kerugian berjuta-juta ringgit disebabkan kegiatan yang tidak bermoral ini. Kebanyakan daripada mereka yang terlibat adalah terdiri daripada golongan remaja yang masih di bangku sekolah.Justeru,tindakan yang efektif perlu segera diambil bagi menangani gejala yang tidak sihat ini.

Ibu bapa merupakan orang yang paling penting dalam menangani gejala yang tidak sihat ini. Hal ini demikian kerana kebanyakan daripada mereka yang terlibat adalah terdiri daripada golongan remaja.Oleh itu, ibu bapa perlulah mendidik dan menasihati anak-anak mereka supaya menghindarkan diri daripada kegiatan yang tidak berfaedah ini.Tamsilnya, ibu bapa boleh menghukum anak-anak mereka yang merosakkan kemudahan awam di kawasan tempat tinggal mereka, bak kata pepatah melentur buluh biar dari rebungnya.Sememangnya peranan ibu bapa amat penting dalam menangani permasalahan ini bermula dari rumah lagi.

Selain itu, pihak sekolah juga perlu peka dengan kegiatan vandalisme yang berlaku dalam kalangan pelajar .Hal ini demikian kerana terdapat di sesetengah sekolah, gejala ini dibiarkan sahaja tanpa mengambil sebarang tindakan untuk mengatasinya. Lantaran itu, pelajar menjadi lebih berani dan secara terang-terangan merosakkan harta benda sekolah seperti memecahkan meja,kerusi,menconteng dinding tandas dan sebagainya.Tamsilnya, pihak sekolah boleh memberikan kaunseling atau mengenakan hukuman yang berat kepada pelajar yang terbabit. Kerjasama daripada pihak sekolah amatlah diperlukan bagi menangani gejala ini daripada berterusan.

Di samping itu, pihak berkuasa perlu menimbangkan hukuman yang lebih berat kepada pelaku-pelaku ini terutama yang melibatkan kemusnahan yang teruk.Hal ini demikian kerana hukuman yang ada pada masa ini agak ringan dan tidak menakutkan orang ramai.Oleh itu, orang ramai akan takut untuk melakukan perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini. Sebagai contoh, pelaku yang didapati bersalah boleh dijatuhkan hukuman sebatan dan sebagainya. Sesungguhnya kesalahan ini agak serius dan hukuman yang setimpal patut dikenakan kepada mereka yang melakukannya.

Intihanya, semua pihak harus bekerjasama menangani gejala ini daripada terus berlarutan. Dalam pada itu,kempen kesedaran melalui media massa perlu diperhebat. Dengan itu, masyarakat akan lebih memahami akan kesan negatif yang ditimbulkan oleh gejala yang tidak sihat ini seterusnya memainkan peranan yang proaktif bagi menangani permasalahan ini dan bukannya seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan