Isnin, 3 Oktober 2011

Selamat Menduduki Peperiksaan PMR 2011

Cikgu ingin mengucapkan selamat menduduki peperiksaan PMR kepada semua pelajar tingkatan tiga di seluruh negara khususnya kepada pelajar-pelajar SMK Dang Anum .Semoga berjaya.

Isi Karangan

1. Huraikan pendapat anda tentang kepentingan sambutan Hari Kebangsaan.
a. memupuk semangat patriotisme dalam diri
b. mengimbas kembali perjuangan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan
c. memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat

2. Huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah untuk menangani jenayah ragut.
a. mempergiatkan rondaan
b. mengenakan hukuman yang lebih berat
c. tidak berjalan di kawasan yang sunyi

3. Huraikan pendapat anda tentang kebaikan bercuti di dalam negara.
a. membantu meningkatkan ekonomi negara
b. menyekat aliran wang ke luar negara
c. mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak

4. Huraikan pendapat anda tentang kesan kenaikan harga barang kepada pengguna.
a. peningkatan perbelanjaan isi rumah
b. lebih berhati-hati semasa berbelanja
c. lebih gigih berusaha untuk menambah pendapatan

5. Huraikan pendapat anda tentang cara-cara untuk membendung jenayah juvana
a. melaksanakan undang-undang yang lebih tegas
b. ibu bapa memberi didikan agama yang sempurna
c. pihak sekolah memberikan bimbingan kaunseling

Surat Sahabat Pena

Contoh Surat Tidak Rasmi

Soalan : Balas surat sahabat pena yang ingin berkunjung ke negara anda untuk melawat suatu tempat pelancongan yang menarik.

(Alamat dan tarikh di sebelah kanan)
JB278 Jalan Serkam Maju 3,

Taman Serkam Maju,

77300 Merlimau,

Melaka.

23 September 2011

Menemui sahabatku Carol, yang kini sedang berada bersama keluarga di Toronto, Kanada semoga berada dalam keadaan sihat walafiat hendaknya.

Saudari Carol,

Apa khabar saudari sekeluarga di sana? Maafkan saya kerana agak lambat membalas surat saudari. Saya kini sibuk dengan persediaan menghadapi peperiksaan PMR yang tidak beberapa lama lagi. Tampaknya saudari benar-benar berminat untuk mengetahui tentang tempat-tempat yang menarik yang terdapat di Malaysia. Kalau sebelum ini saya pernah bercerita tentang Tanah Tinggi Cameron, kali ini saya ingin bercerita tentang Melaka pula.

Negeri Melaka terletak di selatan Semenanjung Malaysia. Negeri Melaka ini banyak keistimewaannya. Antaranya termasuklah tempat-tempat bersejarah yang boleh dilawati di sini. Hal ini demikian kerana negeri Melaka pernah dijajah oleh kuasa-kuasa asing beberapa kali sejak tahun 1511. Kalau saudari berpeluang ke sini dapatlah saudari melihat tinggalan sejarah yang saya maksudkan ini.

Untuk pengetahuan saudari, Melaka terkenal dengan kepahlawanan lima bersaudara semasa pemerintahan Kesultanan Melaka . Hikayat Hang Tuah telah diceritakan secara turun-temurun daripada nenek moyang kami di sini. Secara ringkasnya, Hang Tuah ialah seorang pahlawan Melayu yang terkenal dengan kehebatan persilatannya. Malangnya , beliau telah dihukum bunuh beberapa kali angkara fitnah musuh-musuhnya. Peristiwa ini akhirnya membawa kepada perisitiwa pertarungan yang paling hebat dalam sejarah persilatan berlaku antara Hang Tuah dan sahabat karibnya Hang Jebat. Makam mereka berdua yang ada di bumi Melaka menjadi lambang kesetiaan rakyat pada Rajanya pada suatu masa dahulu.

Saudari,

Selain itu, terdapat banyak tempat yang berkaitan dengan penjajahan ada di negeri Melaka. Bangunan A Famosa tinggalan Portugis dan bangunan Stadhuys yang berwarna merah yang telah didirikan oleh Kerajaan Belanda masih kekal utuh hingga ke hari ini.Selain itu, terdapat juga beberapa buah muzium telah dibina di sekitar Banda Hilir untuk menarik pelancong berkunjung ke sini antaranya ialah Muzium Kesultanan Melaka, Bangunan Memorial Pengisyhtiharan Kemerdekaan dan Muzium Samudera.

Sebenarnya banyak tempat menarik di negeri bersejarah ini. Kalau ada kesempatan, akan saya ceritakan lagi tentang negeri ini. Saya juga akan cuba menghantar potret-potret yang berkaitan untuk tatapan saudari di sana.

Setakat ini dulu yang dapat saya coretkan buat kali ini.Akhir kata, sambutlah salam mesra daripada saya di sini.

Sahabatmu,

Razman

Bersatu Teguh Bercerai Roboh

‘Bersatu teguh bercerai roboh’ perlu menjadi pegangan hidup masyarakat Malaysia.

Peribahasa bersatu teguh bercerai roboh bermaksud kepentingan bekerjasama dan perpaduan dalam sesebuah negara itu. Konsep ini begitu penting kerana keutuhan negara banyak ditentukan oleh rakyat yang mempunyai kesepaduan yang sebenarnya. Negara yang mempunyai rakyat yang tidak bersatu pasti akan menerima impak negatifnya terutama dengan keadaan ekonomi dan politik dunia yang begitu berkaitan hubungannya. Jelaslah, peribahasa ini mempunyai banyak kepentingan untuk dihayati oleh masyarakat kita.

Kehidupan masyarakat kita yang berbilang kaum memerlukan pengamalan peribahasa ini kerana satu tindakan yang tidak bijak mampu menjejaskan keamanan yang dihayati selama ini. Mereka perlu berpegang pada prinsip peribahasa ini untuk membina kekuatan negara kita semula. Masyarakat yang berbilang yang wujud di negara ini menyebabkan perasaan perpaduan itu begitu mudah dikikis jika kita tidak berhati-hati dalam melakukan sesuatu tindakan yang mungkin boleh menjatuhkan air muka kaum yang lain. Maka, peribahasa ini mengingatkan kita betapa pentingnya perpaduan itu.

Selain itu, konsep perpaduan yang diutarakan dalam peribahasa ini juga penting dalam suasana politik negara. Perpaduan diperlukan dalam politik kerana politik boleh membela nasib rakyat negara ini. Perpecahan yang wujud dalam sistem politik atau pentadbiran negara boleh menggugat keamanan negara pada jangka masa panjang.Tanpa perpaduan yang utuh tiadalah sistem politik yang kukuh untuk memastikan nasib rakyat di negara ini terus terbela.

Pada masa yang sama, makna perpaduan juga penting untuk memudahkan pembangunan dilaksanakan di negara ini. Semua aktiviti pembangunan yang dirancang bertujuan untuk menjadikan negara ini lebih makmur dan maju. Sebarang tindakan negatif atau jahat boleh menjejaskan pembangunan yang kemudiannya menjadikan taraf kehidupan rakyat menurun secara mendadak. Keadaan ini jika berterusan akan menjadikan rakyat di negara ini hidup dalam suatu suasana yang begitu menyedihkan seperti keadaan negara asing yang kita sering tontoni di televisyen pula.

Di samping itu, peribahasa ini turut mencanangkan maksud perpaduan rakyat dalam bentuk penyatuan kebudayaan. Kita sedia maklum budaya negara ini berbilang yang memerlukan suatu integrasi untuk menjadikan semua kebudayaan kita itu satu kebudayaan Malaysia yang sebenarnya. Amalan bekerjasama atau perpaduan yang dihayati oleh rakyat negara ini membolehkan semua kebudayaan yang berbeza itu diserapkan secara tabii menjadi satu kebudayaan kebangsaan yang boleh menjadi kebanggaan semua rakyat negara ini.

Kesimpulannya, peribahasa ini banyak membawa peringatan kepada kita semua akan betapa pentingnya perpaduan atau semangat bekerjasama itu. Sikap menuding jari terhadap mana-mana pihak apabila mengalami sesuatu masalah bukanlah suatu tindakan yang sesuai di negara ini. Kita harus sedar bahawa amalan ’bagai aur dengan tebing’ amat penting dipraktikkan di negara ini.

Ahad, 2 Oktober 2011

Seni Pertahanan Diri

Mempelajari seni pertahanan diri banyak membawa kebaikan. Jelaskan faedah-faedah mempelajari seni pertahanan diri.

Kebelakangan ini aktiviti seni pertahanan diri kian mendapat tempat dalam kalangan orang ramai. Antara aktiviti seni pertahanan diri yang popular ialah silat, tae kwan do, judo, karate-do dan sebagainya.Aktiviti ini juga disertai oleh orang ramai yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan jantina.Terdapat pelbagai faedah sekiranya seseorang itu menceburi sukan lasak ini.

Antara faedah yang boleh diperoleh melalui kegiatan ini ialah kita dapat menyihatkan tubuh badan kita. Hal ini demikian kerana badan kita akan berpeluh semasa melakukan pelbagai pergerakan dalam aktiviti ini.Lantaran itu, toksik-toksik dalam tubuh badan kita akan keluar bersama-sama peluh yang mengalir di tubuh kita. Sebagai contoh, pergerakan yang pantas dan tangkas akan menguatkan otot tubuh badan kita. Sememangnya aktiviti seperti ini menyumbang kepada kesihatan tubuh badan kita.

Selain itu, kita juga boleh mempertahankan diri daripada serangan pihak yang tidak bertanggungjawab. Hal ini terjadi kerana kita telah diajar cara-cara untuk mengelakkan serangan dan menyelamatkan diri dalam seni pertahanan diri ini.Justeru, kita akan dapat bertindak dengan pantas sekiranya menghadapi saat-saat yang mencemaskan itu. Tamsilnya, sekiranya terdapat perogol yang ingin melakukan perbuatan keji itu kepada seseorang perempuan yang mempunyai kepakaran dalam seni pertahan diri, sudah tentu perogol tersebut akan teruk dibelasah oleh perempuan tersebut.Oleh itu, kepakaran dalam bidang ini sememangnya boleh menyelamatkan maruah seseorang dalam keadaan tertentu.

Di samping itu, kita juga boleh mewakili sekolah dalam pertandingan seni pertahanan diri. Hal ini demikian kerana terdapat sekolah-sekolah yang menjadikan seni pertahanan diri sebagai salah satu aktiviti kokurikulum di sekolah mereka. Oleh itu, pihak sekolah akan menyertai pertandingan-pertandingan yang dianjurkan di kawasan mereka hinggalah ke peringkat kebangsaan. Sebagai contoh seni pertahanan diri seperti silat dan tae kwan do telah dipertandingkan hingga ke peringkat dunia.Sesungguhnya,penglibatan dalam seni pertahanan diri telah memberi ruang kepada pelajar-pelajar untuk mencipta nama dalam bidang kokurikulum sehingga ke peringkat antarabangsa.

Konklusinya, terdapat pelbagai faedah positif yang dapat dirasai sekiranya seseorang itu melibatkan diri dalam kegiatan ini.Oleh itu, kita janganlah membuang masa yang ada sebaliknya mengambil peluang yang ada untuk mempelajarinya agar kita mempunyai keyakinan diri dalam menghadapi pelbagai situasi yang kritikal sebagaimana yang telah diajar dalam seni pertahanan diri ini.Sememangnya aktiviti ini menjadi wadah untuk kita meneruskan budaya yang kian pupus ditelan zaman seperti yang berlaku kepada seni silat tanah air kita.

Khamis, 29 September 2011

Tips PMR

Soalan Karangan

1. Kepentingan sektor pelancongan.
2. Kepentingan hutan.
3. Memupuk amalan berjimat cermat.
4. Gaya hidup sihat.
5. Kepentingan semangat kejiranan.
6. Faedah bersukan.
7. Slogan Malaysia Boleh.
8. Usaha-usaha memulihara dan memelihara bangunan bersejarah.

Soalan Komsas (Kertas 1)

1. Cerpen Tingkatan 1
2. Sajak Tingkatan 2

Soalan Novel (Kertas 2)

1. Watak dan perwatakan
2. Pengajaran
3. Plot (binaan plot)

Khamis, 22 September 2011

Kemerosotan Disiplin Pelajar

Media massa sering memaparkan berita tentang kemerosotan disiplin yang berlaku dalam kalangan pelajar.Cadangkan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini.

Belakangan ini masalah kemerosotan disiplin pelajar semakin ketara di negara kita. Kemerosotan disiplin ini adalah disebabkan pelbagai faktor . Kebanyakan daripada mereka yang terlibat adalah terdiri daripada golongan pelajar yang mempunyai pelbagai masalah peribadi mereka sendiri.Justeru,tindakan yang efektif perlu segera diambil bagi menangani gejala yang tidak sihat ini.

Ibu bapa merupakan orang yang paling penting dalam menangani gejala yang tidak sihat ini. Hal ini demikian kerana mereka merupakan individu yang paling berkesan untuk mempengaruhi perlakuan anak-anak mereka.Oleh itu, ibu bapa perlulah mendidik dan menasihati anak-anak mereka supaya menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang melanggar peraturan disiplin di sekolah.Tamsilnya, ibu bapa boleh menasihati dan menghukum anak-anak mereka yang terlibat dengan masalah pelanggaran disiplin, bak kata pepatah melentur buluh biar dari rebungnya.Sememangnya peranan ibu bapa amat penting dalam menangani permasalahan ini yang bermula dari rumah lagi.

Selain itu, pihak sekolah juga perlu peka dengan pelanggaran disiplin yang berlaku dalam kalangan pelajar .Hal ini demikian kerana terdapat di sesetengah sekolah, gejala ini dibiarkan sahaja tanpa mengambil sebarang tindakan untuk mengatasinya. Lantaran itu, pelajar menjadi lebih berani dan secara terang-terangan melanggar peraturan sekolah seperti menghisap rokok,berambut panjang, bergaduh dan sebagainya.Tamsilnya, pihak sekolah boleh memberikan kaunseling atau mengenakan hukuman yang berat kepada pelajar yang terbabit. Kerjasama daripada pihak sekolah amatlah diperlukan bagi menangani gejala ini daripada berterusan.

Di samping itu, pihak ibu bapa melalui PIBG seharusnya bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mengatasi masalah ini.Hal ini demikian kerana terdapat segelintir ibu bapa yang tidak memberikan kerjasama yang baik sekiranya anak mereka dihukum oleh pihak sekolah.Lantaran itu, anak-anak mereka akan menjadi lebih berani untuk melanggar peraturan sekolah kerana mengetahui yang ibu bapa mereka tidak cakna dengan perlakuan negatif mereka itu. Sebagai contoh, ibu bapa perlu hadir ke sekolah sekiranya dipanggil oleh pihak sekolah untuk mendengar penjelasan daripada pihak guru tentang masalah disiplin yang telah dilakukan oleh anak mereka. Sesungguhnya kerjasama yang erat antara pihak sekolah dan ibu bapa akan dapat membantu menyelesaikan permasalahan yang ada.

Intihanya, semua pihak harus bekerjasama menangani gejala ini daripada terus berlarutan. Kempen kesedaran dalam kalangan pelajar juga perlu diperhebat. Dengan itu, pelajar akan lebih memahami akan kesan negatif yang ditimbulkan oleh gejala yang tidak sihat ini.Sememangnya semua pihak tidak perlulah menunding jari menyalahkan antara satu sama lain dan tidak bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

Khamis, 15 September 2011

Soalan Percubaan PMR Bahasa Melayu Negeri Kelantan 2011 Bahagian B

Kesan-kesan Buruk yang akan dihadapi oleh Seseorang yang Menghadapi Masalah Obesiti


Kebelakangan ini isu obesiti dalam kalangan penduduk di negara kita sering menjadi topik perbincangan di dada-dada akhbar. Pelbagai kesan negatif akan dihadapi oleh seseorang yang obes.

Mereka yang menghadapi masalah obesiti dikatakaan akan mudah terdedah kepada pelbagai penyakit kronik. Tamsilnya, penyakit darah tinggi, jantung dan sebagainya akan mudah menyerang golongan ini.

Selain itu, kegiatan sukan mereka akan terbatas. Hal ini demikian kerana mereka akan mudah tercedera sekiranya melakukan kegiatan yang memerlukan kecergasan fizikal.

Di samping itu juga golongan ini akan menjadi kurang produktif dalam pekerjaan. Tamsilnya, mereka lebih suka duduk bersantai daripada bergerak cergas.

Akhirnya, mereka juga terpaksa berbelanja lebih daripada orang yang normal berat badannya. Misalannya, mereka terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk membeli pakaian dan makanan.

Konklusinya, masalah obesiti memberikan impak negatif yang besar kepada yang menghadapinya. Justeru, kita hendaklah menjaga pemakanan kita supaya badan kita sentiasa sihat dan cergas.

Ahad, 28 Ogos 2011

Salam Aidilfitri 2011



Pada kesempatan ini cikgu ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pengunjung blog ini yang beragama Islam khususnya kepada pelajar-pelajar dan warga kerja SMK Dang Anum dengan ucapan maaf zahir dan batin.

Rabu, 17 Ogos 2011

Soalan Ujian Selaras 1 2011

Soalan Bahasa Melayu Tingkatan 3Ujian Selaras 1 2011

Karangan Rangsangan

Bahagian B (KaranganRangsangan)

Formula "ARE"


Repetisi = Pengulangan baris

A = Anafora = Pengulangan perkataan pada awal baris

R = Responsi = Pengulangan perkataan pada tengah baris

E = Epifora = Pengulangan perkataan pada akhir baris


Oleh itu, ingatlah formula "ARE"

Soalan Percubaan PMR 2011 Melaka (KOMSAS)

Kita seharusnya mengamalkan sikap bertanggungjawab dalam melakukan pekerjaan.

Berdasarkan pengajaran di atas, huraikan tiga contoh peristiwa bagi novel yang telah anda kaji sama ada di Tingkatan 1 atau di Tingkatan 2.

Cadangan Jawapan

Novel yang saya kaji dalam Tingkatan 2 ialah novel Tragedi Empat Disember. Dalam novel ini terdapat pengajaran tentang sikap bertanggunngjawab dalam melakukan pekerjaan.

Antara peristiwa yang dapat dikaitkan dengan pengajaran di atas dalam novel ini ialah Kamarul Azam bertanggungjawab untuk menjalani Ujian Kelas Pertama dala m aktiviti perkhemahan bersama-sama ahli pengakap dan pandu puteri sekolahnya walaupun tanpa guru pengiring.

Selain itu, Kamarul Azam yang bertindak sebagai ketua juga telah bertanggungjawab untuk mendapatkan tandatangan Ketua Polis Balai Tanjung Pangku bagi memberitahu kedatangan mereka di situ.

Seterusnya, Antik bertanggungjawab membantu Kamarul Azam untuk pulang ke Malaysia bagi menghadiri upacara pengebumian jenazah ayahnya dan mangsa tragedi rampasan kapal terbang tersebut.


Isnin, 8 Ogos 2011

Kepentingan Memelihara Tempat-Tempat Bersejarah di Malaysia

Di Malaysia terdapat banyak tempat-tempat bersejarah hasil peninggalan penduduk yang terdahulu daripada kita. Terdapat pelbagai faedah sekiranya tempat-tempat tersebut dijaga dengan baik.

Antara kepentingan menjaga tempat-tempat ini adalah kerana menjadi tarikan pelancong untuk melawat ke sesuatu tempat. Tamsilnya, bangunan A Famosa di Banda Hilir, Melaka sentiasa dikunjungi pelancong dalam dan luar negara pada saban hari.

Selain itu, dengan melawat tempat bersejarah ini juga kita dapat memupuk semangat patriotik dalam kalangan warganegara. Lantaran itu, kita akan lebih menyayangi negara dan sanggup berkorban demi mempertahankan kedaulatannya.

Di samping itu, pemeliharaan bangunan-bangunan bersejarah di tempat-tempat tersebut dapat membantu mengekalkan nilai seni dan budaya sesuatu bangsa.Tamsilnya, bangunan-bangunan di Jalan Jonker di Melaka masih mengekalkan seni dan budaya masyarakat Baba dan Nyonya pada suatu masa dahulu.

Konklusinya,tempat-tempat bersejarah perlulah dipelihara kerana terdapat banyak kepentingannya kepada generasi yang akan datang.Justeru, pihak yang bertanggungjawab hendaklah memastikan bangunan-bangunan tersebut sentiasa dalam keadaan terpelihara.

Khamis, 28 Julai 2011

Kebaikan Bergotong-royong

Kebaikan Bergotong-royong

Pendahuluan
(A1)Aktiviti bergotong-royong telah diamalkan oleh masyarakat di negara
kita sejak dahulu lagi.
(A2)Terdapat banyak kebaikan jika amalan ini diamalkan oleh kita.

Pengembangan isi
(A1)Antara kebaikannya ialah kita dapat mempercepat sesuatu kerja
berbanding jika dilakukan secara bersendirian.(Isi)
(A2)Hal ini demikian kerana sesuatu tugasan kebiasannya dilakukan
dalam jumlah yang ramai.(Mengapa)

A1)Selain itu, melalui aktiviti ini juga kita dapat menjimatkan kos
dan masa untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan. (Isi)
A2)Sebagai contoh, kita tidak perlu membayar upah kepada mereka
sekiranya melakukan kerja secara goton-royong .(Contoh)

A1)Di samping itu, aktiviti ini juga dapat mengeratkan hubungan
kejiranan di sesuatu kawasan perumahan.(Isi)
A2)Tamsilnya, kita dapat mengenali dengan lebih rapat lagi jiran-jiran
kita semasa menjalankan aktiviti ini.(Contoh)

Penutup

A1)Tuntasnya,kita haruslah terus menghidupkan budaya mulia ini agar
(Harapan)amalan ini dapat diwariskan kepada generasi yang akan datang.

Peraturan Kantin Sekolah

Gambar di bawah menunjukkan sebuah kantin sekolah. Huraikan pendapat anda tentang peraturan kantin sekolah.

PENDAHULUAN
A1)Kantin sekolah merupakan tempat yang menjadi tumpuan pelajar-pelajar
sekolah semasa waktu rehat.

A2)Pelbagai peraturan telah dikuatkuasakan oleh pihak sekolah untuk
memastikan persekitaran yang bersih dan kelancaran urusan jual beli.

PENGEMBANGAN ISI

A1)Antara peraturan yang diperkenalkan ialah semua pelajar dikehendaki
beratur semasa membeli makanan.
A2)Hal ini bertujuan untuk memastikan semua pelajar berpeluang membeli
sesuatu makanan tanpa berebut-rebut.

A1)Selain itu, pelajar-pelajar juga dikehendaki duduk di tempat yang
telah ditetapkan.
A2)Lantaran itu, mereka tidak akan makan di merata-rata tempat yang
boleh menimbulkan masalah dari segi kebersihan.

A1)Di samping itu, mereka juga dikehendaki membuang sisa makanan ke
dalam tong sampah.
A2)Oleh itu, serangga seperti lalat tidak akan membiak di kawasan kantin.

PENUTUP

A1)Konklusinya, peraturan kantin hendaklah dipatuhi oleh semua pihak
yang menggunakan kawasan tersebut.
A2)Oleh itu, keracunan makanan dan pekara-perkara yang seumpama
dengannya dapat dielakkan.

Selasa, 19 Julai 2011

Novel Tingkatan 3 (Kanang Cerita Seorang Pahlawan)

Soalan:Ada beberapa golongan masyarakat yang terlibat dalam sesebuah novel. Nyatakan tiga golongan yang terdapat dalam novel yang anda kaji dalam Tingkatan 3 dan kemukakan satu contoh peristiwa yang melibatkan setiap golongan tersebut.

Contoh Jawapan

Novel yang saya kaji dalam Tingkatan 3 ialah Kanang: Cerita Seorang Pahlawan karya Maznan Nordin.Terdapat banyak golongan masyarakat yang digambarkan dalam novel ini

Antara golongan tersebut ialah masyarakat Iban di Sarawak. Golongan ini seperti Kanang digambarkan sebagai masyarakat yang tinggal jauh di pedalaman,kuat berpegang pada adat resam dan pantang larang serta beragama Pagan.

Selain itu, terdapat juga orang Inggeris dalam novel ini. Orang Inggeris seperti Mr. Ford datang ke Sarawak kerana mendapat kontrak untuk membekalkan arang batu. Batu yang berharga ini dikaut dan diangkut dengan menggunakan kapal besar.

Akhir sekali, terdapat juga golongan yang menentang kerajaan digambarkan dalam novel ini.Pihak komunis seperti kumpulan Nam Yat tinggal di hutan dan diburu oleh tentera kerajaan kerana sering membuat kekacauan di negara ini.

Khamis, 30 Jun 2011

Keburukan Media Massa

Dalam era globalisasi ini, media massa merupakan media yang amat penting dalam kalangan masyarakat. Namun, terdapat pelbagai keburukan yang berpunca daripada media massa yang dapat memberi kesan negatif kepada kehidupan kita.

Antaranya ialah media massa sering menyebabkan kita leka akan perkara yang lebih penting. Tamsilnya, seorang ibu terlupa untuk memasak ketika menonton televisyen.

Selain itu, media massa juga sering mendedahkan perkara yang tidak sepatutnya ditonton oleh kanak-kanak seperti filem-filem yang berunsurkan keganasan . Sebagai contoh, kanak-kanak yang berumur sepuluh tahun amat meminati peperangan kerana terpengaruh dengan rancangan televisyen yang ditayangkan.

Di samping itu, media massa juga banyak menyebarkan gosip yang tidak diketahui akan kesahihannya. Hal ini untuk menaikkan kadar tontonan bagi mendapatkan keuntungan yang lebih banyak.
Konklusinya, terdapat banyak keburukan media massa. Kita perlulah sentiasa berwaspada agar tidak leka dengan perkara-perkara sebegini.

Gejala Rempit

Masalah rempit semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Ramai remaja telah terlibat dalam kegiatan yang tidak membawa faedah ini.
Huraikan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini.


Marcapada, masalah ‘mat rempit’ semakin menjadi-jadi di negara ini. Bilangan remaja yang melibatkan diri dalam kegiatan ‘merempit’ ini meningkat saban tahun. Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Polis DiRaja Malaysia,kegiatan haram ini telah meningkat sebanyak lima belas peratus pada tahun 2010. Justeru, langkah-langkah yang proaktif perlu diambil untuk mengatasi masalah ini.

Antara langkah untuk mengatasi masalah merempit adalah menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas.Hal ini demikian kerana undang-undang yang ada pada masa ini masih agak kurang berkesan untuk menghalang perbuatan ini. Oleh itu, ia dapat menakutkan golongan remaja daripada terjebak ke dalam gejala yang tidak berfaedah ini. Tamsilnya, hukuman sebatan mampu menakutkan mereka untuk menyertai perlumbaan haram. Sesungguhnya hukuman yang lebih berat amat penting untuk mengatasi masalah ini.

Selain itu, peranan ibu bapa juga amat penting untuk mengatasi masalah ini. Hal ini demikian kerana ibu bapa mempunyai kuasa untuk mengawal pergerakan anak-anak mereka. Oleh itu, mereka tidak akan mudah untuk bergaul dengan rakan-rakan yang merempit. Sebagai contoh, ibu bapa perlu sentiasa memastikan yang anak-anak mereka berada di tempat-tempat yang sepatutnya mengikut masa yang ditentukan. Sememangnya perhatian dan kerjasama daripada ibu bapa amat diperlukan bagi menangani gejala yang tidak sihat ini.

Di samping itu, para remaja juga perlulah mengawal diri masing-masing. Hal ini demikian kerana kawalan diri amat penting untuk mengelakkan diri dari terjebak dalam situasi ini. Pengawalan diri dapat memberi kesan yang mendalam terhadap penentangan gejala ‘merempit’. Sebagai contoh, seseorang yang mengawal diri mereka dari terjebak dalam gejala merempit dapat menjalani kehidupan yang normal dan selamat. Kawalan dan jati diri yang tinggi amat penting untuk mengatasi masalah rempit ini.

Tuntasnya, semua pihak haruslah berganding bahu bagi mengatasi masalah ini persis kata mutiara, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Pihak kerajaan juga harus mengharamkan sebarang pengubahsuaian ke atas kenderaan bermotor untuk mengatasi masalah ini. Sekiranya pihak kerajaan bersetuju untuk melaksanakan langkah ini, sudah tentu masalah rempit akan dapat diatasi. Ternyata bahawa semua pihak harus bertanggungjawab bagi memenangi peperangan saraf antara remaja yang tidak bersalah dan mat rempit.

Hasil kerja Ashraf Sabil 3 Dahlia 2011

Rabu, 1 Jun 2011

Tugasan 3Dahlia 2011

Tajuk Karangan
Tuliskan kelima-lima buah karangan dan hantar ke damaza06@yahoo@com.my.


1. Kadar kemalangan jalan raya di negara dianggap antara yang tertinggi di
dunia. Setiap hari, ada sahaja berita tentang kemalangan jalan raya yang
disiarkan menerusi media massa.

Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha untuk mengurangkan
kadar kemalangan jalan raya di negara ini.

2. Amalan membaca harus dipupuk dalam kalangan rakyat negara ini sejak
mereka kecil lagi, seperti kata peribahasa ’melentur buluh biarlah dari
rebungnya’. Hal ini bertepatan dengan hasrat kerajaan yang bertujuan
untuk melahirkan masyarakat berilmu yang maju dan berdaya saing.

Bincangkan usaha-usaha untuk memupuk minat membaca dalam
kalangan rakyat negara ini.

3. Kesihatan sangat penting untuk menjamin kehidupan yang ceria.

Huraikan langah-langkah yang perlu dilakukan untuk menjaga dan
meningkatkan tahap kesihatan kita.

4. Penglibatan remaja dalam perlumbaan motosikal secara haram
membimbangkan banyak pihak.

Huraikan langkah-langkah untuk mengatasi gejala tersebut

5. Bencana alam turut berlaku di negara ini. Kejadian banjir, tanah runtuh dan
kebakaran hutan merupakan antara bencana alam tersebut.

Huraikan tentang usaha-usaha yang perlu dilakukan bagi menangani
masalah tersebut.

Khamis, 12 Mei 2011

Gejala ponteng sekolah

Gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar terutamanya pelajar sekolah menengah semakin membimbangkan. Bincangkan punca-punca yang menyebabkan pelajar ponteng sekolah.

PENDAHULUAN (ISU SEMASA)

A1)Berita tentang gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar terutamanya pelajar
sekolah menengah sering menghiasi dada-dada akhbar sejak kebelakangan ini.

A2)Isu ini telah hangat dibincangkan oleh orang ramai di kedai-kedai kopi sehinggalah
di Parlimen.

A3)Walaupun pelbagai langkah telah diambil bagi membanterasnya, gejala ini tetap
berlaku dan semakin membimbangkan.

A4)Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan gejala ini semakin berleluasa dalam
kalangan pelajar.

PENGEMBANGAN ISI (ISI PERENGGAN PERTAMA)

A1)Sikap ibu bapa yang kurang prihatin merupakan faktor utama mengapa pelajar
sekolah sering ponteng sekolah.

A2)Hal ini demikian kerana terdapat dalam kalangan ibu bapa yang begitu sibuk dengan
urusan keduniaan sehingga melupakan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa.

A3)Oleh itu, anak-anak mereka bebas melakukan apa sahaja perkara yang negatif kerana
mengetahui pergerakan mereka tidak dipantau oleh ibu bapa mereka.

A4)Sebagai contoh, terdapat dalam kalangan ibu bapa yang bekerja sehingga lewat
malam dan hanya bertemu dengan anak-anak mereka pada keesokan paginya sahaja.

A5)Jelaslah bahawa faktor ibu bapa memberikan impak yang besar kepada peningkatan
gejala yang tidak sihat ini.


PENGEMBANGAN ISI (ISI PERENGGAN KEDUA)

A1)Selain itu, pengaruh rakan sebaya merupakan antara faktor yang menyebabkan
pelajar ponteng sekolah. (Apa)

A2)Hal ini demikian kerana rakan sebaya mempunyai pengaruh yang kuat dalam
kehidupan seseorang pelajar itu.(Mengapa)

A3)Justeru, mereka akan mengikut sahaja perlakuan yang negatif ini bagi membuktikan
kesetiaan mereka kepada rakan baik mereka itu. (Kesan)

A4)Tamsilannya, pelajar-pelajar tersebut akan melakukan aktiviti yang tidak bermoral
yang telah diatur oleh ketua dalam sesuatu kumpulan itu bagi memenuhi masa yang
terluang itu. (Contoh)

A5)Sememangnya rakan sebaya memainkan pengaruh yang besar dalam pembentukan
nilai negatif dalam jiwa pelajar tersebut. (Penegasan)

PERENGGAN LENGKAP

Selain itu, pengaruh rakan sebaya merupakan antara faktor yang menyebabkan
pelajar ponteng sekolah. Hal ini demikian kerana rakan sebaya mempunyai pengaruh yang kuat dalam kehidupan seseorang pelajar itu.Justeru, mereka akan mengikut sahaja perlakuan yang negatif ini bagi membuktikan kesetiaan mereka kepada rakan baik mereka itu.Tamsilannya, pelajar-pelajar tersebut akan melakukan aktiviti yang tidak bermoral yang telah diatur oleh ketua dalam sesuatu kumpulan itu bagi memenuhi masa yang terluang itu.Sememangnya rakan sebaya memainkan pengaruh yang besar dalam pembentukan nilai negatif dalam jiwa pelajar tersebut.



PENGEMBANGAN ISI (ISI PERENGGAN KETIGA)

A1)Di samping itu, faktor guru juga menjadi penyumbang kepada gejala yang
tidak sihat ini.

A2)Hal ini demikian kerana terdapat segelintir guru yang tidak mampu menarik
perhatian pelajar untuk belajar.

A3)Lantaran itu, pelajar akan berasa bosan semasa berada di dalam kelas.

A4)Tamsilnya, terdapat dalam kalangan guru yang masih mengamalkan kaedah
pengajaran dan pembelajaran yang sudah tidak sesuai pada masa ini.

A5)Sesungguhnya kaedah pengajaran guru yang membosankan menyumbang kepada
peningkatan kes ponteng di sekolah.

PENUTUP

A1)Intihanya, terdapat banyak faktor lain yang menjadi penyebab kepada permasalahan
ini.

A2)Oleh itu, pelbagai pihak perlulah memberikan komitmen bagi membanteras
gejala yang tidak sihat ini dan janganlah bersikap seperti enau dalam
belukar,melepaskan pucuk masing-masing.

A3)Sekiranya semua pihak memberikan kerjasama yang mapan, sudah tentu
gejala negatif ini dapat kurangkan.

A4)Jelaslah bahawa gejala ini jika dibiarkan akan menyebabkan masalah yang lebih
buruk akan berlaku kepada generasi muda yang akan datang.

Rabu, 4 Mei 2011

Keburukan Internet(Karangan Rangsangan)

Keburukan Internet

Internet merupakan suatu teknologi yang mendapat tempat dalam kalangan manusia kini. Penggunaan internet telah memberi pelbagai kesan negatif kepada kehidupan manusia.

Penyebaran maklumat secara meluas telah melabelkan internet sebagai penyebar khabar angin.Hal ini demikian kerana internet tidak mempunyai sistem penapisan yang berkesan.

Selain itu,masyarakat juga sudah taksub dengan penggunaan internet sehingga kurang mengamalkan aktiviti kunjung mengunjungi antara satu sama lain.Hal ini demikian kerana hubungan “siber” lebih meluas sekarang yang membolehkan seseorang itu boleh berkomunikasi dengan orang lain tanpa perlu bersemuka dengannya.

Di samping itu, internet merupakan tempat tumpuan penggunanya mendapatkan bahan lucah.Sememangnya penggunaan internet dalam aspek ini memang bertentangan dengan ajaran agama.

Kesimpulannya, masalah penggunaan internet yang tidak sihat ini perlu dikawal oleh kerajaan dengan bersungguh-sungguh. Masyarakat pula perlu lebih pandai memilih bahan dalam internet.

125 patah perkataan

Khamis, 7 April 2011

Kebaikan Internet (Karangan Rangsangan)

Kebaikan Internet

Internet merupakan media yang sangat berpengaruh pada masa ini.Terdapat pelbagai manfaat yang boleh diambil melalui penggunaan internet.

Antaranya ialah kita dapat berhubung dengan sesiapa jua seantero dunia pada bila-bila masa dan di mana jua.Tamsilnya,kita boleh menghantar e-mel atau bersembang.

Selain itu,kita juga boleh mendapatkan pelbagai maklumat melalui internet.Sebagai contoh,kita boleh menyelusuri laman-laman web yang ada untuk mendapatkan maklumat.

Berita-berita dari dalam dan luar negara juga dapat diketahui dengan mudah dan cepat.Tamsilnya,kita boleh pergi ke laman web yang menyediakan akhbar dalam talian dan membacanya.

Di samping itu,kita tidak perlu beratur untuk membayar sebarang bil kerana kita boleh membayar secara ’online’.Hal ini demikian kerana pihak-pihak bank telah menyediakan khidmat internet bagi memudahkan pelanggan mereka menyelesaikan urusan perbankan mereka.

Kesimpulannya,terdapat banyak kebaikan internet.Namun kita perlu berwaspada agar penggunaan internet tidak memudaratkan kita.

125 patah perkataan.

Kebaikan Internet (Karangan Rangsangan)

Kebaikan Internet

PENDAHULUAN
A1)Internet merupakan media yang sangat berpengaruh pada masa ini.
(Isu)

A2)Terdapat pelbagai manfaat yang boleh diambil melalui penggunaan internet.
(Hala tuju)

PENGEMBANGAN ISI
A1)Antaranya ialah kita dapat berhubung dengan sesiapa jua seantero dunia pada bila-
bila masa dan di mana jua.
(Apa-isi)

A2)Tamsilnya,kita boleh menghantar e-mel atau bersembang.
(Contoh)

PENGEMBANGAN ISI
A1)Di samping itu,kita tidak perlu beratur untuk membayar sebarang bil kerana kita
boleh membayar secara ’online’.
(Apa-isi)

A2)Hal ini demikian kerana pihak-pihak bank telah menyediakan khidmat internet bagi
memudahkan pelanggan mereka menyelesaikan urusan perbankan mereka.
(Mengapa)

PENUTUP
A1)Kesimpulannya,terdapat banyak kebaikan internet.
(Rumusan)

A2)Namun kita perlu berwaspada agar penggunaan internet tidak memudaratkan kita.
(Harapan)

Sabtu, 26 Mac 2011

Masalah Pembuangan Bayi

Masalah pembuangan bayi semakin berleluasa. Pada pendapat anda apakah faktor-faktor yang menyebabkan fenomena ini terus menular?

Mutakhir ini kejadian pembuangan bayi di negara kita begitu menular dan amat membimbangkan.Hal ini menunjukkan betapa negara kita semakin dilanda oleh gejala kebejatan sosial yang sukar dibendung.Gejala ini jika berterusan akan membawa kepada keruntuhan institusi kekeluargaan di negara kita. Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kes ini semakin menular di negara kita.

Antara faktor utama kepada berlakunya gejala ini ialah pegangan agama yang semakin rapuh dalam kalangan remaja. Hal ini berlaku demikian kerana mereka hanya belajar subjek agama di sekolah sekadar hanya untuk lulus dalam peperiksaan.Lantaran itu,mereka mudah tercebur kepada perbuatan mungkar kerana tidak menghayatinya.Sebagai contoh, mereka mudah terpengaruh untuk melakukan zina kerana tidak memikirkan kesan daripada perbuatan mereka itu dan akhirnya membuang bayi yang dilahirkan itu di merata-rata tempat.Sememangnya pegangan agama yang kuat menjadi benteng daripada terjerumus dalam kegiatan yang tidak bermoral ini.

Selain itu, pengaruh negatif yang tersebar luas melalui media dalam kalangan remaja memburukkan lagi permasalahan ini. Perkembangan teknologi maklumat kadang-kadang lebih membawa keburukan jika tidak dipantau. Justeru, remaja tersebut akan terpengaruh untuk melakukan perbuatan yang tidak bermoral tersebut. Sebagai contoh, mereka akan cuba untuk melakukan perbuatan zina setelah menonton filem lucah di internet. Seharusnya remaja perlu bijak menilai maklumat yang telah dihidangkan di depan mata mereka.

Di samping itu, kurangnya kawalan oleh ibu bapa kerana terlalu sibuk dengan urusan mencari nafkah dan kekayaan dunia juga menjadi penyebab kepada gejala ini .Hal ini terjadi kerana taraf hidup yang semakin tinggi menyebabkan mereka terpaksa bekerja keras untuk menyara keluarga. Lantaran itu, anak dibiarkan bebas tanpa sedikit pun kawalan daripada mereka. Tamsilnya, anak-anak akan menggunakan ruang kebebasan yang ada dengan perbuatan yang tidak bermoral tersebut bersama-sama kawan yang tidak bermoral.Jelaslah bahawa kesibukan dengan urusan duniawi menjadi antara punca kepada gejala yang tidak sihat ini.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan gejala ini. Anggota masyarakat dan jiran yang mengambil sikap ‘seperti enau di dalam belukar’ perlu mengubah sikap mereka. Sekiranya perubahan ini dilakukan, sudah tentu gejala negatif ini dapat dikurangkan.Sememangnya gejala ini perlu diperang secara habis-habisan bagi memastikan generasi yang akan datang bebas daripada permasalahan ini.

Masalah Pembuangan Bayi

Masalah pembuangan bayi semakin berleluasa. Pada pendapat anda apakah faktor-faktor yang menyebabkan fenomena ini terus menular?

PENGEMBANGAN ISI (PERENGGAN PERTAMA)

A1)Antara faktor utama kepada berlakunya gejala ini ialah pegangan agama
yang semakin rapuh dalam kalangan remaja.(Apa)

A2)Hal ini berlaku demikian kerana mereka hanya belajar subjek agama
di sekolah sekadar hanya untuk lulus dalam peperiksaan.(Mengapa)

A3)Lantaran itu,mereka mudah tercebur kepada perbuatan mungkar kerana
tidak menghayatinya.(Kesan)

A4)Sebagai contoh, mereka mudah terpengaruh untuk melakukan zina
kerana tidak memikirkan kesan daripada perbuatan mereka itu dan
akhirnya membuang bayi yang dilahirkan itu di merata-rata tempat.
(Contoh)

A5)Sememangnya pegangan agama yang kuat menjadi benteng daripada
terjerumus dalam kegiatan yang tidak bermoral ini.
(Penegasan)

Masalah Pembuangan Bayi

Masalah pembuangan bayi semakin berleluasa. Pada pendapat anda apakah faktor-faktor yang menyebabkan fenomena ini terus menular?

PENDAHULUAN (ISU SEMASA)

A1)Mutakhir ini kejadian pembuangan bayi di negara kita begitu menular
dan amat membimbangkan.(isu semasa)

A2)Hal ini menunjukkan betapa negara kita semakin dilanda oleh gejala
kebejatan sosial yang sukar dibendung.(ulasan isu)

A3)Gejala ini jika berterusan akan membawa kepada keruntuhan institusi
kekeluargaan di negara kita.(isu masa ini)

A4)Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kes ini semakin menular
di negara kita.(hala tuju)

Isnin, 21 Mac 2011

Gejala Ponteng Sekolah

Gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar terutamanya pelajar sekolah menengah semakin membimbangkan. Bincangkan punca-punca yang menyebabkan pelajar ponteng sekolah.

PENGEMBANGAN ISI (ISI PERENGGAN KEDUA)

A1) Selain itu, pengaruh rakan sebaya merupakan antara faktor yang
menyebabkan pelajar ponteng sekolah. (Apa)

A2) Hal ini demikian kerana rakan sebaya mempunyai pengaruh yang
kuat dalam kehidupan seseorang pelajar itu.(Mengapa)

A3) Justeru, mereka akan mengikut sahaja perlakuan yang negatif ini
bagi membuktikan kesetiaan mereka kepada rakan baik mereka itu.
(Kesan)

A4) Tamsilannya, pelajar-pelajar tersebut akan melakukan aktiviti
yang tidak bermoral yang telah diatur oleh ketua dalam sesuatu
kumpulan itu bagi memenuhi masa yang terluang itu. (Contoh)

A5) Sememangnya rakan sebaya memainkan pengaruh yang besar dalam
pembentukan nilai negatif dalam jiwa pelajar tersebut. (Penegasan)

Khamis, 3 Mac 2011

Punca-punca Penyakit Berjangkit

Berdasarkan ilustrasi di bawah ini, huraikan pendapat anda tentang punca-punca penularan penyakit berjangkit.

PERENGGAN LENGKAP

PENDAHULUAN

Baru-baru ini, sarwajagat telah digemparkan dengan krisis penyakit berjangkit yang boleh membawa maut. Terdapat pelbagai punca yang dikenalpasti membawa kepada penularan penyakit ini.

PENGEMBANGAN ISI

Membiarkan kuku panjang tanpa menjaganya merupakan salah satu punca penyebaran penyakit ini. Justeru, kuman akan terlekat di celah-celah kuku dan akan masuk ke dalam badan semasa kita menyuap makanan ke dalam mulut kita.

Selain itu, dapur yang kotor akan mengundang lalat menghurungi makanan yang ada di situ. Lantaran itu, lalat-lalat tersebut akan mencemarkan makanan yang ada dan menyebarkan kuman pada makanan tersebut.

Di samping itu, perbuatan bersin dan batuk tanpa menutup mulut akan menyebabkan penyebaran kuman berlaku. Mereka yang berbuat demikian akan menyebabkan manusia yang berhampiran mereka akan turut terkena jangkitan kuman tersebut.

PENUTUP

Intihanya, terdapat banyak punca lain yang menyebabkan situasi ini berlaku. Pelbagai langkah perlu diambil bagi memastikan situasi ini dapat dikawal dengan sebaik mungkin.

Punca-punca Penyakit Berjangkit

Berdasarkan ilustrasi di bawah ini, huraikan pendapat anda tentang punca-punca penularan penyakit berjangkit.

PENDAHULUAN

A1)Baru-baru ini, sarwajagat telah digemparkan dengan krisis penyakit berjangkit yang boleh membawa maut.
(Isu semasa)

A2)Terdapat pelbagai punca yang dikenalpasti membawa kepada penularan penyakit ini.
(Hala tuju)

PENGEMBANGAN ISI

A1)Membiarkan kuku panjang tanpa menjaganya merupakan salah satu punca penyebaran penyakit ini.
(Isi/Apa?)

A2)Justeru, kuman akan terlekat di celah-celah kuku dan akan masuk ke dalam badan semasa kita menyuap makanan ke dalam mulut kita.
(Huraian/Kesan)

PENUTUP

A1)Intihanya, terdapat banyak punca lain yang menyebabkan situasi ini berlaku.
(Kesimpulan)

Pelbagai langkah perlu diambil bagi memastikan situasi ini dapat dikawal dengan sebaik mungkin.
(Cadangan)

Isnin, 21 Februari 2011

Contoh Menjawab Ringkasan (1)

Fokus : Fungsi bahan pengawet makanan

Antara fungsi bahan pengawet makanan ialah ia dapat mengelakkannya daripada rosak atau busuk dan kekal lama. Selain itu, bahan makanan tersebut sedap dan enak dimakan. Di samping itu, untuk mengekalkan kesegaran hasil dari lading atau laut supaya dapat disimpan lama sebelum sampai kepada konsumen. Tambahan pula, makanan dapat dijaga dan dipanjangkan tempoh hayatnya. Seterusnya, ia mengeluarkan asid untuk memantapkan rupa dan tekstur , di samping menjadikan makanan lebih lazat. Akhirnya, bahan peluntur seperti Benzoyl peroksida dan gas klorin digunakan bertujuan memutihkan makanan supaya nampak elok dan bersih.

85 patah perkataan

Isnin, 24 Januari 2011

Karangan Rangsangan (Warga Tua) Karangan Lengkap

Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha untuk membantu warga tua.

Kebelakangan ini warga tua sering disisihkan oleh masyarakat. Hal ini demikian kerana mereka dianggap tidak lagi dapat memberikan apa-apa sumbangan kepada masyarakat. Sememangnya tanggapan ini salah kerana warga tua ini perlu dibantu bagi meneruskan sisa-sisa hidup mereka yang masih tinggal.

Antara usaha yang boleh dilakukan ialah pihak berwajib perlulah mendirikan rumah orang-orang tua bagi mereka yang memerlukannya. Sebagai contoh, ia boleh didirikan di setiap kawasan petempatan.Hal ini demikian kerana ia dapat menyediakan kediaman yang selesa bagi warga tua yang ketiadaan tempat tinggal.

Selain itu, pihak kerajaan juga perlu menyediakan skim perubatan istimewa bagi golongan tersebut. Tamsilannya, golongan tersebut boleh dikecualikan daripada sebarang bayaran sekiranya mendapatkan rawatan di hospital.Hal ini demikian kerana warga tua kebiasaannya sering mendapat penyakit dan kos rawatannya amat tinggi.

Seterusnya, warga tua juga seharusnya diutamakan semasa berurusan di kaunter perkhidmatan. Sebagai contoh,mereka boleh dikecualikan daripada beratur dalam barisan dan disediakan kaunter khas untuk mereka berurusan. Hal ini demikian kerana mereka tidak lagi mempunyai kekuatan fizikal untuk berbuat demikian.

Intihanya, warga tua perlulah dibantu bagi meringankan kesulitan yang mereka alami. Dengan ini, mereka akan berasakan diri mereka masih lagi dihargai oleh masyarakat di sekeliling mereka.

Khamis, 20 Januari 2011

Karangan Rangsangan( Warga Tua)

Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha untuk membantu warga tua.

PENDAHULUAN ISU SEMASA

A1)Kebelakangan ini warga tua sering disisihkan oleh
masyarakat.

A2)Hal ini demikian kerana mereka dianggap tidak lagi
dapat memberikan apa-apa sumbangan kepada masyarakat.

A3)Sememangnya tanggapan ini salah kerana warga tua ini
perlu dibantu bagi meneruskan sisa-sisa hidup mereka
yang masih tinggal.


PENGEMBANGAN ISI

A1)Antara usaha yang boleh dilakukan ialah pihak berwajib
perlulah mendirikan rumah orang-orang tua bagi mereka
yang memerlukannya.

A2)Sebagai contoh, ia boleh didirikan di setiap kawasan
petempatan.

A3)Hal ini demikian kerana ia dapat menyediakan kediaman yang
selesa bagi warga tua yang ketiadaan tempat tinggal.


A1)Selain itu, pihak kerajaan juga perlu menyediakan skim
perubatan istimewa bagi golongan tersebut.

A2)Tamsilannya, golongan tersebut boleh dikecualikan daripada
sebarang bayaran sekiranya mendapatkan rawatan di hospital.

A3)Hal ini demikian kerana warga tua kebiasaannya sering
mendapat penyakit dan kos rawatannya amat tinggi.


A1)Seterusnya, warga tua juga seharusnya diutamakan semasa
berurusan di kaunter perkhidmatan.

A2)Sebagai contoh,mereka boleh dikecualikan daripada beratur
dalam barisan dan disediakan kaunter khas untuk mereka
berurusan.

A3)Hal ini demikian kerana mereka tidak lagi mempunyai
kekuatan fizikal untuk berbuat demikian.


PENUTUP

A1)Intihanya, warga tua perlulah dibantu bagi meringankan
kesulitan yang mereka alami.

A2)Dengan ini, mereka akan berasakan diri mereka masih lagi
dihargai oleh masyarakat di sekeliling mereka.

Isnin, 10 Januari 2011

Modul Teknik Menjawab Kertas 2 PMR

Modul ini mengandungi teknik-teknik untuk menulis karangan (jenis karangan yang kerap keluar dalam PMR),karangan rangsangan, teknik menjawab ringkasan (langkah demi langkah),cara menjawab soalan pemahaman dan novel serta istilah-istilah yang terdapat dalam KOMSAS.Teknik-teknik yang saya ketengahkan ini telah saya permudahkan mengikut kesesuaian pelajar-pelajar saya dan telah saya praktikkan dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Isnin, 3 Januari 2011

Modul PMR 2011

Salam ukhwah buat semua pembaca blog ini. Cikgu mendapat beberapa pertanyaan untuk memiliki modul PMR yang telah cikgu siapkan pada tahun 2010. Modul tersebut sedang dalam proses penyuntingan dan pencetakan buat kali ke-2.Kepada yang berminat untuk memilikinya boleh menghantarkan alamat anda ke e-mel cikgu.(damaza06@yahoo.com.my)Cikgu akan mengeposkannya secepat mungkin.Bayaran hendaklah dibuat ke dalam akaun yang cikgu akan tuliskan dalam e-mel nanti.